RM108 juta peruntukan pasca banjir di Sabah

RM108 juta peruntukan pasca banjir di Sabah

Kota Marudu: Kerajaan menganggarkan peruntukan sebanyak lebih RM108 juta untuk pasca banjir termasuk pemberian sumbangan mangsa dan baik pulih infrastruktur terjejas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengikut laporan diberikan Kerajaan Negeri Sabah, sebanyak RM90,865 juta diperlukan untuk tujuan pembaikan infrastuktur.

Ismail Sabri menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir.

Katanya, ia berikutan berlakunya banyak kerosakan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan gantung dan pelbagai lagi kemudahan lain.

“Manakala selebihnya adalah membabitkan pemberian sumbangan kepada 2,808 mangsa banjir di seluruh negeri ini.

“Kita mangsa banjir bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 dan juga bantuan lain seperti membeli peralatan rosak akibat banjir sejumlah RM2,500,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 200 mangsa banjir di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri DrMaximus Ongkili; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan beberapa lagi jemaah menteri dan pembantu menteri Sabah

Ismail berkata, bantuan itu juga termasuk baucar untuk pembelian barangan elektrik sebanyak RM500 dan baucar pembaikan kenderaan sebanyak RM1,000.

Katanya, jumlah keseluruhan sumbangan wang ihsan RM1,000 yang sudah dibayar adalah sebanyak RM1.6 juta dan baki sebanyak RM1.199 juta akan dibayar pada Isnin ini.

“Begitu juga untuk RM2,500 keperluan asas, kita akan bayar sebanyak RM3.677.5 juta dan bagi pembaikan kecil rumah pada kadar RM5,000 pula akan diberikan kepada seramai 548 yang berjumlah RM2.740 juta.

“Manakala bagi pembaikan besar rumah RM5,000 hingga RM14,999 pula akan membabitkan jumlah kosnya secara keseluruhan sebanyak RM7,819,714 juta.

“Bagi pembinaan baru rumah, sebanyak 21 rumah terlibat dengan kos setiap rumah sebanyak RM56 ribu. Jadi kos keseluruhannya sebanyak RM1.176 juta,” katanya.

Sementara itu Ismail turut memuji kemampuan kerajaan negeri dan agensi terlibat atas kemampuan menguruskan banjir sewaktu bencana dan pasca banjir.

Katanya, tidak ada sebarang isu berkaitan mengenai pasca banjir dan semua mangsa dilihat boleh pulang ke rumah masing-masing dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri.

“Ini menunjukkan kemampuan kerajaan negeri dan pejabat daerah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor terutamanya dalam menjadi barisan hadapan kepada masalah bencana banjir kali ini.

“Tidak ada isu yang timbul seperti satu atau dua negeri sebelum ini, akibat daripada kelemahan daripada peringkat pengurusan banjir sehinggalah pasca banjir,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|