16 Ketua Cabang PKR Sabah boikot mesyuarat MPN

16 Ketua Cabang PKR Sabah boikot mesyuarat MPN

Kota Kinabalu: Seramai 16 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, hari ini bertindak memboikot Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang diadakan secara dalam talian dan fizikal.

Pengerusi Sekretariat Ketua-Ketua Cabang Sabah yang juga Ketua Cabang Keadilan Labuan, Simsudin Sidek, berkata tindakan itu sebagai tanda protes Ketua-Ketua Cabang yang menolak kepimpinan Pengerusi MPN Sabah, Datuk Christina Liew.

Katanya, tindakan menolak kepimpinan Christina itu juga termasuk membabitkan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ketua Wanita, Ketua Srikandi dan Ketua Skuad PKR Sabah.

“Saya telah dimaklumkan korum kehadiran mesyuarat hari ini tidak mencukupi namun diteruskan dengan memasukkan beberapa individu dan dilantik secara terus.

“Ini jelas merupakan tindakan yang sangat terdesak daripada Christina. Saya mempunyai bukti kehadiran mereka yang berada secara dalam talian dan mereka yang hadir secara fizikal.

“Saya juga mengambil maklum pengguguran Ketua Cabang Kota Belud, Mustapha Sakmud selaku Timbalan Pengerusi Keadilan Negeri.

“Pengguguran ini berlaku berkemungkinan akibat kegagalan beliau membantu Christina mendapatkan sokongan majoriti Ketua-Ketua Cabang Keadilan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Simsudin berkata, hari ini genap 20 hari selepas mesyuarat sekretariat Ketua-Ketua Cabang PKR Sabah yang sepatutnya dijadualkan bersama Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu sebelum Anwar membatalkan perjalanan kerana bencana banjir di Semenanjung.

Katanya, desakan menolak kepimpnan Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api dan Ahli Parlimen Tawau itu bukan perkara baharu namun sudah berpanjangan sejak empat tahun lalu.

“Malah Sekretariat Ketua-Ketua Cabang ini juga telah ditubuhkan dan bersama menolak kepimpinan Christina Liew sejak lebih setahun lalu.

“Saya selaku Pengerusi Sekretariat Ketua-ketua Cabang mewakili 16 Ketua Cabang serta ketua-ketua sayap Keadilan Sabah menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menyelesaikan kemelut ini,” tegasnya.

Jelasnya, Sekretariat Ketua-Ketua Cabang Keadilan Sabah juga mendesak perkara itu diselesaikan segera dan tidak diheret terlalu lama sehingga pemilihan parti yang bakal berlangsung dalam masa terdekat.

Beliau berkata, tindakan melengahkan penyelesaian kemelut tidak memberi kelebihan kepada parti, malah bakal menyaksikan perpecahan yang lebih teruk dalam PKR Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|