10 KIR terkesan banjir terima RM1,000

10 KIR terkesan banjir terima RM1,000

Beluran: Seramai 10 Ketua Isi Rumah (KIR) yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 daripada kerajaan bagi meringankan beban bagi mereka yang terkesan akibat banjir.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, banjir yang melanda kawasan Parlimen Beluran kali ini menyebabkan pemindahan seramai 91 KIR di tiga daerah iaitu Telupid, Beluran dan Daerah Kecil Paitan yang keseluruhan mangsa terlibat adalah seramai 298 orang.

Ronald serah bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Kampung Balaban Jaya di sini, Beluran.

“Hari ini kita sampaikan bantuan wang ihsan daripada kerajaan sebanyak RM1,000 bagi setiap KIR yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Jadi penyampaian pada hari ini melibatkan 10 KIR di daerah Beluran, daerah lain akan menyusul kemudian iaitu di daerah Telupid dan daerah kecil Paitan,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Kampung Balaban Jaya di sini, hari ini.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, dana dan bantuan lain yang disalurkan oleh kerajaan pada kali ini kepada mangsa banjir akan menyusul termasuk membabitkan membaik pulih rumah serta peralatan yang sudah disenaraikan oleh kerajaan sebagai dana yang akan disumbangkan kepada mangsa banjir.

“Di kawasan Parlimen Beluran ini juga turut melibatkan kerosakan rumah dan ada beberapa rumah yang musnah serta tidak boleh dibaiki yang akan menerima bantuan khusus dari dana yang telah diumumkan oleh kerajaan,” katanya.

Tambah beliau lagi, banjir yang melanda di Parlimen Beluran kali ini juga mengorbankan dua nyawa iaitu satu berlaku di Telupid dan satu lagi di Paitan.

“Seperti yang dijanjikan kerajaan, setiap waris kepada dua mangsa ini akan menerima sumbangan RM10,000 khusus kepada keluarga yang ditimpa kemalangan jiwa,” katanya.

Dalam pada itu, Ronald berkata, penduduk di Parlimen Beluran perlu terus memberi kerjasama kepada pihak keselamatan terutama apabila diarahkan berpindah ke PPS atas faktor keselamatan mereka.

Sementara itu, Ronald berkata, kerajaan sentiasa memberikan perhatian dan bantuan yang perlu kepada mangsa banjir dan menerusi kementeriannya iaitu dana RM100 juta telah diasingkan dari dana belanjawan yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada kementerian pada tahun 2022.

“Dana sebanyak RM100 juta itu khusus untuk membantu pengusaha-pengusaha sektor agromakanan untuk memulakan semula perusahaan mereka.

“Ini termasuk pemberian in-kind, pembaikan kandang, pembaikan reban dan kolam dan juga tanaman. Begitu juga ada dana yang khusus untuk padi dan tanaman-tanaman yang lain telah diperuntukkan oleh kerajaan melalui MAFI disamping dana peruntukan untuk bencana alam yang khusus iaitu RM80juta,” katanya.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Samad Jambri; Penolong Pegawai Daerah Beluran, Leprus Esuvas@Giswa dan Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|