1,138 warga IPD Kota Kinabalu tunaikan tanggungjawab pengundi awal

1,138 warga IPD Kota Kinabalu tunaikan tanggungjawab pengundi awal

Kota Kinabalu: Seramai 1,138 pegawai dan anggota, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal, hari ini.

Proses pengundian awal yang bermula jam 8 pagi itu membabitkan pasukan keselamatan di empat kawasan Parlimen iaitu Kota Kinabalu, Sepanggar, Putatan dan Penampang.

Mohd Zaidi menunggu giliran untuk membuang undi di pusat pengundian awal yang diadakan di IPD Kota Kinabalu

Manakala balai yang terlibat sebagai pusat mengundi adalah Balai Polis (BP) Kota Kinabalu, BP Tanjung Aru, BP Karambunai, BP Inanam, BP Manggatal, BP Sepanggar dan BP Pulau Gaya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, bagi memastikan kelancaran hari pengundian awal, pihaknya mengerahkan seramai 50 anggota dan pegawai di seluruh pusat mengundi.

Katanya, selain menjaga keselamatan, ia juga bagi memastikan kelancaran lalulintas selain memudahkan pengundi awal menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Jumlah keseluruhan pengundi awal di empat kawasan Parlimen ini adalah seramai 3,694 membabitkan warga polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Askar Wataniah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuang undi di IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan hari pengundi pada 19 November ini, Mohd Zaidi berkata, seramai 67 pegawai dan anggota trafik, kereta peronda polis (MPV) dan Unit Ronda Bermotosikal (URB) di seluruh kawasan terlibat.

Katanya, semua kekuatan keanggotaan ini akan ditugaskan di 76 Pusat Daerah Mengundi (PDM) sekitar.

“Berdasarkan kepada kesediaan pasukan polis, ia memberi keyakinan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan tugas dengan teliti.

“Ini juga bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin dan proses pengundian berjalan lancar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|