Zairolnizal Ishak dilantik KPD Kota Marudu

Zairolnizal Ishak dilantik KPD Kota Marudu

Kota Marudu: Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, Superitendan Zairolnizal Ishak dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kota Marudu, berkuatkuasa hari ini.

Perlantikan beliau bagi menggantikan Superintendan Mohd Izaan Abdullah yang bersara wajib selepas bertugas sebagai ketua polis daerah ini sejak April 2016.

Penyerahan serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, di sini, dengan disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan yang mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.

Mazli berkata, banyak kejayaan yang dicapai oleh Mohd Izaan sepanjang beliau menerajui IPD Kota Marudu selama lima tahun tiga bulan khususnya dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas segala khidmat bakti yang dicurahkan oleh Mohd Izaan selama perkhidmatan beliau di Kontinjen Sabah.

“Saya juga berharap seluruh warga kerja IPD Kota Marudu akan terus memberikan sokongan padu kepada Ketua Polis Daerah Kota Marudu yang baru iaitu Zairolnizal Ishak dan isteri, Zara Delysha Deborah Labo Abdullah selaku Pengerusi Perkep IPD Kota Marudu yang baru,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Pada majlis yang sama, turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Kota Marudu antara isteri Mohd Izaan iaitu Hartisyan Abduhu dan Zara Delysha.

Mazli berkata, beliau berharap kepimpinan baru dan warga IPD Kota Marudu akan dapat menjalankan tugas demgan lebih bersemangat dan cekal di masa akan datang.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|