2,340 metrik tan bekalan gula bakal tiba di Sabah

2,340 metrik tan bekalan gula bakal tiba di Sabah

Kota Kinabalu: Sebanyak 2,340 metrik tan gula dijangka tiba di Sabah secara berperingkat pada minggu ketiga serta keempat bulan ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 590 metrik tan gula dijangka sampai di Pelabuhan Sepanggar manakala 650 metrik tan di Pelabuhan Sandakan selain 1,100 metrik tan lagi di Pelabuhan Tawau.

Katanya, dengan adanya bekalan gula berkenaan, isu ketiadaan gula dipasarkan dijangka akan mula beransur pulih Ogos depan.

“Kita sudah melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan ke atas semua syarikat pemborong utama di negeri ini.

“Hasil penelitian mendapati jumlah bekalan gula yang diterima pemborong berkaitan daripada dua buah kilang gula di Semenanjung sudah berkurangan sehingga 50 peratus berbanding kebiasaanya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Georgie berkata, ibu pejabat KPDNHEP di Putrajaya juga membantu dengan menjalankan semakan lanjut ke atas kedua-dua kilang terlibat dan mendapati antara punca bekalan gula berkurangan dihantar ke Sabah termasuklah faktor kerosakan mesin utama memproses gula di salah sebuah kilang pengeluar.

“Selain itu, kes penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang gula juga mengakibatkan kapasiti pengeluaran dan pengedaran oleh kilang gula terjejas selain
kelewatan penghantaran melalui kapal laut daripada kedua-dua kilang gula di Semenanjung.

“Kelewatan ini adalah kerana berlaku beberapa perubahan jadual pelayaran kapal yang menjejaskan ketibaan bekalan gula di Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, Georgie berkata, walaupun berlaku gangguan penghantaran ke Sabah namun bekalan sedia ada di pasaran tetap ada dan tindakan mengehadkan pembelian gula kepada dua kilogram atau dua paket seorang dilaksanakan oleh pihak peruncit sebagai kawalan kendiri.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Georgie memaklumkan terdapat permintaan tinggi ke atas minyak masak bersubsidi di dalam polibeg saiz satu kilogram berikutan peningkatan mendadak harga minyak masak botol di pasaran ekoran kenaikan harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia.

Katanya, tinjauan pejabat KPDNHEP Sabah turut mendapat bekalan barangan keperluan asas seperti gula, minyak masak dalam polibeg saiz satu kilogram, telur, tepung dan beras daripada peruncit dibeli dalam kuantiti besar berikutan menjadi barangan utama dalam penyediaan bakul makanan bagi membantu golongan terkesan dengan Covid-19.

“Pembelian barang keperluan asas yang berlebihan di peringkat peruncit menyebabkan pengguna di beberapa kawasan terputus bekalan selain terpaksa menunggu bekalan baru sampai ke peruncit berkenaan.

“Oleh itu, kita meminta kerjasama daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi supaya mendapatkan bekalan barang keperluan yang diperlukan daripada pihak pemborong di setiap daerah dan merancang tempahan pembelian lebih awal bagi menjamin bekalan tidak mengalami sebarang gangguan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga minyak masak
paket sekilogram melebihi RM2.50 dan harga gula melebihi RM2.85 sekilogram kerana tindakan tegas boleh dikenakan ke atas peniaga terbabit.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|