Beluran: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda maut selepas kenderaan terbabas dan terbalik beberapa kali dalam kejadian kemalangan di Jalan Paitan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 4 pagi itu, pemandu kenderaan Nissan Frontier berkenaan, Mohd Syed Shahrin, 50, disahkan maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati mangsa bergerak dari arah Paitan menuju ke Beluran.

Katanya, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh sehingga menyebabkan kenderaannya terbalik beberapa kali.
“Siasatan awal ketika kejadian mendapati, keadaan cuaca baik namun jalan yang dilalui berselekoh.
“Pemandu terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat mendapat kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kasim berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Beluran untuk proses bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
– Deasoka