Dua pelajar perempuan parah dirempuh kereta

Dua pelajar perempuan parah dirempuh kereta

Tawau: Dua pelajar perempuan berusia 13 dan 15 tahun parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Apas Parit, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, kenderaan Toyota GL yang dipandu lelaki berusia 37 tahun terbabit dikatakan bergerak dari pusat bandar menuju ke Batu 15.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, brek kenderaan berkenaan dikatakan tidak berfungsi sehingga menyebabkannya hilang kawalan dan terus terbabas.

Ketua polis daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan mendapati kenderaan berkenaan terbabas hingga merempuh bahu jalan di jalan bertentangan.

Katanya, ketika itu, kedua-dua mangsa yang sedang berjalan di bahu jalan dirempuh dan diseret kenderaan berkenaan sehingga terjunam ke dalam parit.

“Kejadian mengakibat kedua-dua mangsa terperosok di bahagian bawah hadapan kenderaan berkenaan.

“Orang awam yang berada di lokasi kejadian segera membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa yang sebelum dihantar ke wad kecemasan Hospital Besar Tawau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Peter berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai Fatimah Chaw, patah paha kaki kanan dan terseliuh bahu kanan namun dilaporkan stabil.

“Manakala mangsa kedua pula, yang dikenali sebagai Ramadhani patah kaki kanan dan dilaporkan kritikal.

“Siasatan awal polis, mendapati pemandu tidak mempunyai lesen memandu dan juga pemegang pasport IMM13.

“Kenderaan berkenaan turut membawa seorang penumpang lelaki berusia 40 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan ketika kejadian,” katanya.

Peter berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu yang memandu laju sehingga hilang kawalan di kawasan selekoh tajam sehingga menyebabkannya terbabas .

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|