Kota Kinabalu: Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah menyuntik sejumlah dana kepada Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) bagi menampung pembayaran gaji kakitangan institusi pendidikan berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata langkah itu bagi membantu pengurusan UCSF yang berdepan isu membayar gaji kakitangannya.
Katanya, ia berdasarkan keadaan kewangan semasa UCSF dan unjuran kemasukan pelajar baharu 2022 yang memungkinkan institusi itu tidak dapat menampung pembayaran gaji kakitangan sepenuhnya.
“Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah mengambil serius perkara ini dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Sebagai komitmen pihak Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah, sejumlah dana disuntik kepada UCSF untuk menampung pembayaran gaji kakitangannya,” katanya.
Beliau menjawab mengenai isu gaji membabitkan kakitangan UCSF seperti yang dilaporkan di media baru-baru ini.
Ghulam berkata, pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah juga akan meneruskan perbincangan dengan pengurusan UCSF dalam usaha menangani isu berkenaan.
Katanya, pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah turut berharap agar pengurusan UCSF mengekalkan saluran komunikasi dengan kakitangan sebagai antara agenda utamanya, terutama pada waktu sukar disebabkan pandemik Covid-19, sekarang.
“Dalam memastikan perkara ini tidak berlarutan, pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah bersetuju untuk menyelesaikan masalah ini berdasarkan keputusan Tribunal Jabatan Tenaga Kerja.
“Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah juga mengarahkan pengurusan UCSF untuk tidak membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan Tribunal Jabatan Tenaga Kerja.
“Bagi memastikan isu ini tidak berlarutan, pihak pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah akan memastikan semua usaha yang akan dirancang dilaksanakan dengan kadar segera demi memastikan agenda pembangunan pendidikan untuk anak-anak Sabah dapat terus dilaksanakan,” katanya.
Mengulas situasi dialami UCSF, Ghulam berkata, ia berpunca daripada pandemik Covid-19 yang menjejaskan rutin kehidupan dan operasi perniagaan, termasuk institusi pendidikan.
Katanya, ancaman virus berkenaan banyak mempengaruhi aktiviti harian perniagaan pelbagai syarikat, manakala pejabat dan kilang ditutup, menyebabkan pekerja terpaksa duduk di rumah.
“Sepanjang 18 bulan berlalu, terdapat banyak perniagaan yang terkesan, jatuh dan mengalami kerugian. Sabah tidak terkecuali menerima kesan langsung pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia.
“Kesannya boleh dirasai bukan sahaja dari segi kesihatan malah memberikan kesan buruk kepada ekonomi banyak pihak.
“Sejak tahun pandemik melanda dunia, kebanyakan kolej pendidikan turut berdepan dengan krisis pandemik Covid-19. Kesannya amat mendalam sehingga dapat dirasakan oleh sektor pendidikan,” katanya.
Jelasnya, sama seperti kolej dan universiti lain di Malaysia, UCSF turut merasai impak daripada situasi pandemik berkenaan.
-Deasoka