PDRM terus perangi aktiviti penyeludupan

PDRM terus perangi aktiviti penyeludupan

Papar: Pasukan polis akan terus memperhebatkan lagi operasi dalam usaha memerangi aktiviti penyeludupan di negara ini khususnya di Sabah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara itu sememangnya menjadi salah satu misinya untuk memerangi aktiviti penyeludupan terutama membabitkan barang kawalan selain membanteras aktiviti jenayah lain di perairan negara ini.

Katanya, kegiatan penyeludupan itu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian sehingga jutaan ringgit saban tahun.

“Salah satu misi saya adalah memerangi sampai ke akar umbi berhubung kegiatan penyeludupan barang-barang menerusi Op Kontraban bukan saja di Sabah tetapi juga di seluruh negara.

“Ini termasuk aktiviti penyeludupan rokok, minuman keras dan barang-barang kawalan yang ada di Malaysia seperti beras, minyak masak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) antara Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail yang bersara wajib kepada Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias di Ibu Pejabat Gerakan Am (PGA) Kinarut, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Hazani berkata, sukar dinafikan ia sememangnya mendapat pemintaan yang tinggi terhadap barang seludup selain adanya dalang berhubung aktiviti itu.

“Permintaan tidak dinafikan memang tinggi dan ada dalangnya. Mana-mana aktiviti yang menyalahi undang-undang, mesti ada dalangnya dan ia tidak akan berlaku secara spontan.

“Mesti ada orang yang merancang dan ada orang yang membekalkan modal,” katanya.

Sehubungan itu, Hazani berkata, beliau akan berbincang dengan pihak atasan PDRM untuk mengambil tindakan khusus dalam usaha menangani aktiviti penyeludupan berkenaan.

“Kita akan buka fail kes dan ambil tindakan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang atau Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 bagi penyeludupan manusia.

“Selain itu, tindakan juga diambil mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|