Sah notis lama

Sah notis lama

Kota Kinabalu: Polis Sabah mengesahkan kenyataan notis membabitkan kebenaran rentas sempadan dan kapasiti kenderaan yang tular sejak akhir-akhir adalah tidak benar.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdulllah berkata, setakat ini, Sabah masih lagi terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 2 yang tidak membenarkan sebarang pergerakan rentas daerah.

Katanya, pergerakan rentas daerah hanya dibenarkan untuk membabitkan tujuan kecemasan, pekerjaan dengan surat majikan, temujanji vaksin Covid-19 dan perkhidmatan perlu.

“Selain itu, pergerakan rentas daerah juga dibenarkan untuk pasangan jarak jauh, dan ibu bapa yang ingin melawat anak bawah umur 18 tahun.

“Manakala pergerakan individu dari rumah yang sama dan golongan dewasa yang lengkap divaksin dibenarkan keluar di dalam daerah sama berdasarkan jumlah kapasiti kenderaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Idris berkata, hasil siasatan polis mendapati notis berkenaan adalah notis lama bertarikh 6 Mei 2020 dan disebarkan semula oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungn itu, Idris menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita atau kenyataan tidak sahih dan palsu.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 dan penjara setahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|