Hari Malaysia: Naratif yang betul mengenai pembentukan Malaysia perlu disemai

Hari Malaysia: Naratif yang betul mengenai pembentukan Malaysia perlu disemai

Kota Kinabalu: Wacana dan naratif yang betul serta waras mengenai sejarah pembentukan Malaysia perlu disemai dalam kalangan rakyat negara ini supaya sentimen negatif tidak terus bersemarak dan melemahkan sistem persekutuan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata jika sentimen negatif dibiarkan, ia juga boleh menghancurkan kedaulatan negara dalam jangka masa panjang.

Katanya, rakyat juga perlu memahami nikmat yang berjaya dikecapi selepas pembentukan Malaysia 58 tahun lalu selain menyedari kesan buruk yang boleh berlaku jika saling bertelagah sesama sendiri.

“Rakyat perlu faham nikmat yang diperoleh sejak Malaysia dibentuk serta kesan dan implikasinya jika kita asyik bertelagah, tidak bersatu dan lebih buruk lagi, jika mengambil tindakan untuk keluar Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri dan Pengerusi Bersama sambutan Hari Malaysia Ke-58 berkata demikian dalam temubual khas sempena sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan secara sederhana, di sini, Khamis ini.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkara perpaduan antara tiga wilayah yang membentuk Malaysia perlu diperkukuhkan sejajar usaha meningkatkan integrasi nasional di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Beliau berkata, perpaduan di antara ketiga-tiga wilayah itu sangat penting bagi memastikan Malaysia kekal menjadi sebuah negara yang stabil dan aman, di samping usaha mengukuhkan perpaduan kaum dan sosial yang menjadi keutamaan negara selama ini.

Jelasnya, rakyat setiap wilayah perlu saling memahami, bertolak ansur dan tidak menimbulkan perkara yang boleh menjejaskan perpaduan serta integrasi nasional.

“Hakikatnya, ketika kesepaduan sosial perlu dikukuhkan, kita tidak harus lupa untuk mengukuhkan integrasi nasional. Perpaduan kaum dan perpaduan antara negeri dan tiga wilayah itu penting diperkukuh seperti kata pepatah, bersatu teguh bercerai roboh.

“Sikap tolak ansur dan persefahaman perlu terus dipupuk dan dimantapkan. Kutuk-mengutuk, senda-mempersenda, menghina, memperlekeh pihak lain termasuk melalui media sosial boleh menjejaskan kesepaduan sosial dan integrasi nasional,” katanya.

Bung Moktar berkata selama 58 tahun usia pembentukan Malaysia, perkara utama yang dilihat ialah penyatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya, kejayaan membentuk rakyat Malaysia yang saling menghormati antara satu sama lain dan menghargai keunikan kepelbagaian kaum serta etnik di negara ini sangat bermakna dalam usaha mengukuhkan negara.

“Kita bersama menuju ke arah Malaysia yang makmur, maju dan gemilang, mempertahankan kedaulatan dan maju ke hadapan dengan mengenepikan sentimen negatif yang boleh menjejaskan kemajuan dan kemakmuran bersama.

“Dari aspek pembangunan insfrastruktur kita tidak menafikan banyak kemakmuran dan kemajuan yang kita kongsi bersama termasuk kemudahan pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas yang lain.

“Sistem perhubungan jalan raya, bekalan elektrik luar bandar, komunikasi dan lain-lain lagi juga sudah dinikmati. Sukar dinafikan bahawa kita masih bergantung kepada peruntukan kerajaan Pusat untuk menyediakan segala prasarana ini,” katanya.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata perkara itu sebahagiannya terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) walaupun turut mengakui masih ada yang belum terlaksana.

Bagaimanapun, katanya beliau yakin dengan semangat kerjasama dan hubungan baik di antara kerajaan negeri dan persekutuan, perkara itu dapat diselesaikan secara berperingkat.

Jelasnya, apa yang penting ialah semangat kerjasama di antara kerajaan negeri dan persekutuan dengan sokongan seluruh rakyat melalui usaha bersama mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian negara.

“Segala perancangan dan pelaksanaan program pembangunan negara amat bergantung kepada kestabilan politik. Apabila politik tidak stabil, kerap berlaku pertukaran kerajaan, menyebabkan segala dasar yang dirancang sebelum ini bertukar dan ini tentu menjejaskan usaha untuk membangunkan negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|