Sindiket seludup dadah guna kotak polisterin ikan sejuk beku tumpas

Sindiket seludup dadah guna kotak polisterin ikan sejuk beku tumpas

Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendedahkan modus operandi penyeludupan dadah yang berjaya dibongkar 29 Ogos lalu adalah dengan mengisi bahan yang disyaki dadah ke dalam plastik lutsinar.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdullah Jaapar, semua dadah jenis ketamine dan methamphetamine itu kemudiannya diletakkan ke dalam ruangan tersembunyi di bahagian dalam kotak polisterin ikan sejuk beku.

Katanya, kaedah dipercayai digunakan dengan tujuan untuk mengaburi mata pihak penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dalam usaha menyeludup keluar semua dadah berkenaan.

“Dalam kejadian itu, pasukan penguatkuasaan LTAKK merampas dadah keseluruhan seberat 8.668 kilogram yang dianggarkan bernilai RM404,375.

“Penyeludupan berkenaan disedari pasukan keselamatan MasKargo selepas mengesan imej imbasan mencurigakan terhadap 16 kotak polisterin yang diisi dengan ikan sejuk beku,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdullah berkata, hasil penelitian mendapati terdapat satu imej lapisan mencurigakan di bawah ikan berkenaan.

Katanya, pemeriksaan terus dijalankan dan mendapati terdapat sebanyak 16 bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk kristal yang disyaki dadah.

“Dadah yang dirampas adalah jenis ketamine iaitu seberat 5.431 kilogram bernilai RM287,843. Manakala dadah jenis methamphetamie pula dianggarkan seberat 3.237 kilogram dengan nilai RM116,532.

“Turut ditahan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 32 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehubungan itu, Abdullah berkata, pihak JKDM Zon Sabah sentiasa komited dalam menangani sebarang aktiviti membabitkan penyeludupan dadah.

Katanya, sepanjang tahun ini, JKDM Sabah berjaya merampas dadah jenis methamphetamine seberat 235.358 kilogram dan 1.022 kilogram ganja dan ketum seberat 3.4 kilogram menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak RM8.760 juta.

“Sehingga kini, seramai enam orang yang disyaki ditahan manakala dua orang sudah dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“Masyarakat juga dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan negara dari segi hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Abdullah berkata, masyarakat boleh memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

“Maklumat juga boleh disalurkan ke Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identitI setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|