PM setuju percepat pembukaan Hospital Medan di Tawau

PM setuju percepat pembukaan Hospital Medan di Tawau

Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk mempercepatkan pembukaan Hospital Medan di Tawau bagi membantu usaha memerangi pandemik Covid-19 di negeri ini.

Perkara itu dinyatakan beliau dalam maklum balasnya terhadap permintaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Kebangsaan dipengerusikan Perdana Menteri secara dalam talian, hari ini.

Hajiji sebelum itu menjelaskan Hospital Medan yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini sudah dihentikan operasinya.

Katanya, pembukaan semula kemudahan itu sangat mendesak memandangkan Hospital Tawau kini sedang dalam proses dinaik taraf dan baru 60 peratus siap.

Sementara itu, Hajiji memaklumkan sebanyak 302 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dikenal pasti di Sabah, manakala 14 agensi dengan seramai 6,800 anggota diaktifkan bagi menghadapi musim tengkujuh.

Katanya, Sabah sudah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berikutan beberapa kes bencana alam yang menjejaskan penduduk selain menyebabkan kerosakan infrastruktur dan harta benda di beberapa daerah seperti Beaufort dan Penampang.

“Dianggarkan sebanyak RM147 juta diperlukan untuk membaiki kerosakan berkenaan dan kerajaan negeri berharap mendapat bantuan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Mesyuarat berkenaan turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan beberapa ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|