PM dijadual hadir sambutan Hari Malaysia

PM dijadual hadir sambutan Hari Malaysia

Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dijadual menghadiri sambutan Hari Malaysia Ke-58 yang diadakan secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, di sini, Khamis ini.

Sambutan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu turut dijadual dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia 2021, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut dijadual hadir.

Bung Moktar berkata, walaupun masih berdepan pandemik Covid-19, sambutan Hari Malaysia tetap diadakan sejajar kepentingannya dalam sejarah pembentukan negara.

“Hari Malaysia yang kita raikan pada 16 September saban tahun tidak kurang pentingnya dengan sambutan Hari Kebangsaan dan ia perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik. Mentaliti segelintir rakyat yang masih tidak peduli signifikan Hari Malaysia perlu diubah.

“Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar memperingati penubuhan Malaysia, malah rakyat di Sabah dan Sarawak sudah tentu menginginkan sesuatu yang lebih signifikan dalam konteks pembinaan negara bangsa dengan menitikberatkan kepentingan dan peranan kedua-dua negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Turut dijadual hadir ialah Menteri Komuniaksi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada tahun ini penting dalam usaha mengukuhkan hubungan negeri dan Pusat sejajar perubahan kepemimpinan kerajaan persekutuan yang kini diketuai Ismail Sabri.

Katanya, sambutan Hari Malaysia juga diharap dapat memberi kesedaran kepada generasi muda mengenai kepentingan hari bersejarah itu dalam pembangunan negara.

“Hubungan kerajaan persekutuan dan negeri serta urus tadbir yang baik akan menjadi aspek penting dalam memastikan segala perancangan pembangunan dan pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik,” katanya.

Bung Moktar berkata, antara pengisian sambutan Hari Malaysia pada Khamis ini ialah Majlis Menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2021, tayangan nontaj Malaysia Prihatin dan persembahan jhas Malaysia Prihatin oleh artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|