WARISAN tidak tanding di 222 kerusi Parlimen

WARISAN tidak tanding di 222 kerusi Parlimen

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak untuk bertanding di semua 222 kerusi Parlimen.

Beliau berkata, WARISAN boleh bertanding di semua kerusi mengikut perlembagaan parti namun pihaknya ketika ini hanya mahu mewujudkan pakatan dengan parti lain.

Katanya, ada pihak yang hanya melihat WARISAN sebagai sebuah parti tempatan Sabah namun ia sebenarnya boleh bertanding di semua kawasan termasuk di Semenanjung.

“Hakikatnya, kalau kita lihat perlembagaan parti ini boleh bertanding di kerusi 222. Ini perlembagaan parti kita dari awal lagi bila parti ini didaftarkan, maknanya parti ini boleh bertanding di mana-mana kawasan yang ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti WARISAN 2020 di Dewan Hakka, di sini, hari ini.

Diminta mengulas lanjut sama ada beliau berhasrat untuk bertanding di semua kerusi, beliau menolaknya.

“Tidak (222 kerusi). WARISAN sekarang ini tidak mahu kerusi semua.

“Kita kena ada pakatan kita, kita tidak kepada untuk bertanding. Cuma saya minta Syed Saddiq Abdul Rahman (Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Semenanjung, mantapkan orang muda, kena tonjolkan,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai kerjasama dengan MUDA, beliau berkata parti itu boleh menggunakan logo WARISAN jika ia masih belum dapat didaftarkan.

Mengulas berhubung usaha untuk melebarkan sayap Warisan ke Semenanjung, ia adalah sebagai pilihan untuk rakyat untuk memilih parti lain.

“Saya melihat bahawa di negara kita tidak ada pilihan, dari segi perubahan yang berlaku setakat itu saja,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|