Hanya kolaburasi, belum putuskan guna logo WARISAN – MUDA

Hanya kolaburasi, belum putuskan guna logo WARISAN – MUDA

Kota Kinabalu: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan putuskan penggunaan logo Parti Warisan Sabah (WARISAN) selepas melalui proses di mahkamah dalam usaha mendaftarkannya sebagai parti politik.

Pengasasnya, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, ketika ini MUDA berkerjasama dengan WARISAN sementara parti itu melalui proses di mahkamah.

“Sekarang kita berkolaborasi dengan WARISAN, MUDA sedang cuba melalui proses mahkamah. Kita tidak dapat putuskan kerana pendengaran semula pada minggu depan (14 Disember) dan kita berharap bahawa kita akan dapat kelulusan daripada mahkamah.

“Saya rasa, yang penting seperti yang dikatakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kita ingin menubuhkan satu gagasan yang berprinsip, bermaruah yang mewakili rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

“MUDA sudah agak rapat dengan beliau sekian lama, saya sendiri ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berkempen ke banyak kawasan bagi memastikan bahawa WARISAN menang,” katanya dalam sidang media ketika hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti WARISAN 2020 di Dewan Hakka, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada MUDA bersedia untuk menggunakan logo WARISAN untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Mengulas lanjut, ditanya berhubung kehadiran beliau dalam majlis itu, Syed Saddiq berkata ia adalah sebagai sokongan beliau terhadap WARISAN.

“Memang sebagai sokongan. Saya sudah kenal Datuk Seri Mohd Shafie sekian lama apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ditubuhkan awal pun saya banyak meminta nasihat daripada beliau.

“Beliau membuat pendirian agak baik, berprinsip, bermaruah untuk menubuhkan WARISAN dan saya tidak lupakan detik tersebut apabila ramai agak mustahil untuk menembus kubu kuat UMNO di Sabah tetapi dengan gelombang yang dibawa Datuk Seri Mohd Shafie dengan anak muda yang bersama dengannya, akhirnya kubu kuat itu berjaya ditembusi,” katanya.

Sehubungan itu, Syed Saddiq berkata, beliau akan berdiri teguh bersama Presiden WARISAN bagi memastikan negeri ini berlaku perubahan yang besar.

“Bukan hanya di Sabah tetapi di seluruh Malaysia,” katanya.

Terdahulu, turut hadir ialah Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking; Naib Presiden WARISAN, Datuk Junz Wong dan Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|