Usahawan India di Sabah boleh bantu jayakan SMJ

Usahawan India di Sabah boleh bantu jayakan SMJ

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memerlukan pembabitan semua pihak termasuk daripada komuniti India bagi mencapai sasaran Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata SMJ adalah pelan induk inklusif ke arah menjadikan negeri dan rakyatnya lebih progresif.

Beliau turut menggesa masyarakat dan usahawan India di Sabah mengambil peluang daripada pakej ekonomi yang ditawarkan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Saya berharap komuniti India di Sabah akan terus bekerja bersama dengan kerajaan dan memastikan semua agenda selain inisiatif pemulihan ekonomi dalam SMJ dapat dijayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Dewan Perniagaan India Sabah, di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Teks ucapannya disampaikan Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasni Daya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut mengambil maklum kesukaran yang dihadapi komuniti India di Sabah, khususnya berkaitan isu yang belum selesai seperti taraf penduduk tetap (PR) dan dana untuk kuil.

“Saya percaya isu ini dapat diselesaikan dengan kerjasama Dewan Perniagaan India Sabah dan badan yang mewakili komuniti India,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|