PGA tahan tiga lelaki bersama 400 kilogram minyak masak

PGA tahan tiga lelaki bersama 400 kilogram minyak masak

Sandakan: Tiga lelaki ditahan selepas didapati memiliki 400 kilogram minyak masak selain peralatan memproses minyak berkenaan tanpa lesen dalam operasi di dua lokasi berasingan di Jalan Labuk, di sini, semalam.

Dalam serbuan bermula jam 9 lagi itu, operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) berkenaan diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa dengan kerjasama pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat dan pemerhatian selama hampir sejam, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki yang memandu kenderaan Ford Ranger dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi menemui 25 jariken berkapasiti 30 liter yang berisi minyak disyaki minyak masak.

“Suspek berusia 68 tahun terbabit terus ditahan bersama minyak masak yang ditemui untuk membantu siasatan lanjut.

“Operasi diteruskam dengan serbuan terhadap sebuah rumah di Batu 12, Jalan Labuk, di sini dan menahan dua lelaki berusia 34 dan 43 tahun,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Rani berkata, kedua-dua suspek ditahan atas sebab memiliki barang-barang memproses minyak masak tanpa lesen.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya cuba menahan sebuah lori tiga tan yang dipandu seorang lelaki namun suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan lori sebelum berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, lori berkenaan didapati membawa tangki kosong berkapasiti 1,000 kilogram.

“Pihak KPDNHEP kemudiannya merampas kenderaan berkenaan dan dibawa balik untuk proses dokumentasi,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rani berkata, hasil operasi kali ini, pihaknya berjaya merampas minyak masak yang dianggarkan bernilai RM1,000 bersama kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua kenderaan dan telefon bimbit milik suspek ditahan dianggarkan bernilai RM97,500.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Berjadual minyak masak subsidi.

“Ia disebabkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan iaitu berurusniaga barang kawalan berjadual tanpa mempunyai kebenaran dari pengawal bekalan,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|