100 keluarga Kampung Gas, Batu Sapi terjejas akibat kebakaran 2018 diharap dapat ditempatkan di PPR

100 keluarga Kampung Gas, Batu Sapi terjejas akibat kebakaran 2018 diharap dapat ditempatkan di PPR

Sandakan: Seramai 100 keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Gas, Batu Sapi, di sini, pada 2018 diharap dapat dipindahkan ke kawasan perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Presiden Gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Datuk Fadli Fathullah berkata, pihaknya sudah meninjau kawasan penempatan tersebut dan mendapati mangsa yang terjejas akibat kebakaran kini terpaksa menetap di dalam kontena.

Program pembersihan dilakukan di kawasan penempatan penduduk di Kampung Gas, Batu Sapi, Sandakan.

“Pihak NGO mendapati rakyat di kawasan berkenaan perlu pembelaan dengan kadar segera.

“Apabila melihat mereka tinggal di sana, ia tidak selamat didiami serta membahayakan kesihatan penduduk kerana hasil tinjauan mereka hanya berumahkan kontena yang sangat tidak selesa dan panas selain persekitaran yang tidak bersih,” katanya selepas menyertai program pembersihan di kampung berkenaan, baru-baru ini.

Kontena yang didiami penduduk di Kampung Gas, Batu Sapi, menunjukkan kawasan itu tidak selamat dan kebersihan tidak terjaga.

Katanya lagi, pihaknya dalam masa yang sama turut menerima banyak aduan berhubung keadaan nasib mereka di penempatan berkenaan.

“Jumlah penduduk yang tinggal di rumah kontena tersebut seramai 100 keluarga yang terlibat rumah mereka yang terbakar beberapa tahun yang lalu.

“Jadi kerajaan perlu mengambil berat dan membela nasib rakyat di kawasan berkenaan dengan segera dan kita meminta supaya mereka dapat dipindahkan ke perumahan PPR segera,” katanya.

Terdahulu, kebakaran yang berlaku kira-kira empat tahun lalu menyebabkan lebih 400 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila 90 rumah di kawasan itu hangus sepenuhnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|