Terbabas masuk gaung sedalam 60 meter, suami isteri terselamat

Terbabas masuk gaung sedalam 60 meter, suami isteri terselamat

Ranau: Suami isteri terselamat selepas kenderaan dinaiki terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter dalam kejadian di Jalan Ranau-Tamparuli berhampiran Kampung Kiau, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, dua mangsa membabitkan penumpang wanita berusia 34 tahun dan pemandu lelaki berusia 36 tahun.

Pasukan bomba membantu mengeluarkan dua mangsa keluar daripada kenderaan yang terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.39 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

Keadaan kenderaan Ford Ranger yang remuk selepas terjunam ke dalam gaung di Jalan Ranau-Tamparuli berhampiran Kampung Kiau, malam tadi. Pix Ihsan Bomba

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan Ford Ranger yang terbabas sendiri masuk ke dalam gaung sedalam lebih 60 meter.

“Terdapat dua orang mangsa terlibat di mana kedua-duanya hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa terus diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 1.09 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|