WARISAN ke Semenanjung bukan keputusan terburu-buru – Awang Ahmad Sah

WARISAN ke Semenanjung bukan keputusan terburu-buru – Awang Ahmad Sah

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) menegaskan keputusan parti itu melebarkan perjuangan ke Semenanjung bukan dibuat terburu-buru.

Ketua Penerangannya, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari berkata, perkara itu sudah beberapa kali dibincang di peringkat kepimpinan dan Majlis Tertinggi parti.

“Tiada seorangpun menentang dalam mesyuarat. WARISAN mendapat sambutan yang menggalakkan dan rakyat di Semenanjung sudah ramai yang mula bosan dengan sebahagian parti di sana dan memohon agar Parti Warisan berkembang ke Semenanjung.

“Mereka mahu bersama-sama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilihat mereka sebagai pemimpin alternatif yang berpotensi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau dalam pada itu menjelaskan bahawa keputusan itu juga bukan agenda untuk mengangkat Presiden parti sebagai Perdana Menteri.

“Apapun, ini bukanlah agenda mahu menjadi Perdana Menteri, tetapi satu usaha untuk memastikan Sabah ada rakan di Semenanjung yang mempunyai keyakinan politik yang sama dengan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Kalau kita keluar WARISAN dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sama juga kita menyokong UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Kedua-dua ini adalah parti yang berpusat di Semenanjung. Takkan mereka boleh masuk Sabah, WARISAN tak boleh ke Semenanjung. Bukan bererti kita ke Semenanjung dan bertanding di semua kawasan Parlimen,” katanya.

Pada Selasa lalu, bekas Naib Presiden WARISAN, Datuk Peter Anthony mengumumkan keluar parti bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim.

Peter yang juga ADUN Melalap mendakwa WARISAN sudah tersasar daripada landasan apabila bertindak melebarkan sayap ke Semenanjung baru-baru ini.

Sementara itu, Awang Ahmad Sah berkata, WARISAN tetap konsisten dan tegas dalam mempertahan kepentingan wilayah Sabah dan Sarawak.

“Walaupun Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dikembalikan melalui keputusan melebihi dua pertiga, WARISAN mahu memastikan MA63 dilaksanakan sepenuhnya agar pengagihan hasil dapat dilaksanakan mengikut perjanjian atau melalui perundingan dan pembahagian secara berperingkat.

“Dalam menghadapi perjuangan ini, WARISAN akan terus bertahan dan membawa rakyat Sabah untuk terus memahami perjuangan ini.

“Setakat ini, rakyat akar umbi memberi sokongan yang kuat dan tetap menyokong WARISAN dan bekerja keras untuk memastikan parti ini kekal relevan dan berjaya dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|