Warga pendidikan Labuan jayakan Hari Sukan Negara 2021

Warga pendidikan Labuan jayakan Hari Sukan Negara 2021

Labuan: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) tidak ketinggalan meraikan Hari Sukan Negara (HSN) 2021, baru-baru ini dengan melaksanakan tiga aktiviti utama secara bersemuka dan hibrid bersama seluruh warga pendidikan di pulau ini.

Aktiviti itu ialah berkayak sejauh tujuh kilometer di pesisir pantai yang disertai 50 guru dan senamrobik di Pusat Kokurikulum Labuan yang turut disertai 50 warga Jabatan Pendidikan Labuan.

Seramai 50 orang warga guru telah mengikuti aktiviti berkayak sejauh 7 kilometer di sepanjang persisiran pantai dan 50 orang mengikuti senamrobik di Pusat Kokurikulum.

Selain itu, seramai 30 orang lagi yang terdiri daripada barisan pengurusan tertinggi dan 100 pelajar sekolah menengah menyertai aktiviti secara hibrid di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP).

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias melepaskan peserta aktiviti berkayak di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad, berkata sudah tiba masanya semua warga pendidikan kembali cergas bagi mengharungi tiga peringkat pembukaan sekolah yang bermula pada 4 Oktober lalu, hari ini dan 1 November depan.

Jelasnya, semua jurulatih sukan dalam kalangan guru sudah boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dalam merencana periodisasi sukan masing-masing yang meliputi aspek kecergasan, kemahiran teknikal dan taktikal serta psikologi sukan.

Beliau berkata, perkara itu sudah diambil tindakan oleh Sektor Pembangunan Murid yang diterajui oleh Timbalan Pengarah, Abdul Rahman Ahmad.

“Sejak April 2020, pendidik sentiasa berfikir untuk mengurangkan jurang keciciran dalam aspek pembelajaran. Kini jurulatih sukan perlu menyusun strategi agar kita juga tidak keciciran dari aspek potensi dan bakat sukan,” katanya.

Majlis pelancaran Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sempena Hari Sukan Negara 2021 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Aktiviti senamrobik yang diadakan dalam program itu turut disiarkan melalui Webinar, Youtube dan Facebook Live.

Yusup mengucapkan tahniah kepada penyelaras utama program, Samsul Mandisin bersama penyelaras kayak, Abdul Kahar Abdul Rahim dan penyelaras senamrobik, Mariam Basir serta urusetianya yang berjaya melaksanakan HSN JPWPL 2021.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Unit Bakat Murid, Samsul Mandisin, berkata sejak Labuan diumumkan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Jabatan Pendidikan Labuan bersama rakan strategiknya Jabatan Belia dan Sukan merangka pelbagai program dalam mengembalikan gaya hidup sihat warga Labuan.

Katanya, sebagai galakan, Jabatan Belia dan Sukan turut membenarkan kemudahan yang ada di Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara dimanfaatkan untuk mengaktifkan semula aktiviti sukan.

Bagaimanapun, jelas beliau, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) masih diperketatkan yang mana semua peserts terlibat perlu lengkap vaksin Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|