Penerima vaksin Cansino boleh masuk premis perniagaan selepas 28 hari suntikan

Penerima vaksin Cansino boleh masuk premis perniagaan selepas 28 hari suntikan

Kota Kinabalu: Penerima vaksin dos tunggal Cansino dibenarkan memasuki premis perniagaan selepas memenuhi tempoh yang ditetapkan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata semua penerima vaksin itu perlu mematuhi tempoh masa 28 hari dari tarikh menerima suntikan.

“Vaksin Cansino adalah vaksin jenis dos tunggal yang bersamaan dengan dua dos suntikan bagi vaksin jenis lain.

“Tiada halangan bagi mereka yang menerima vaksin jenis dos tunggal untuk masuk ke mana-mana premis perniagaan atau untuk melakukan urusan.

“Namun, ianya mestilah selepas 28 hari dari tarikh mereka mendapatkan vaksin jenis Cansino,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Exco Kesihatan Sabah berkata, pemberian vaksin kepada orang ramai tetap diteruskan walaupun kebanyakan pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini sudah ditutup.

Jelasnya, penutupan PPV tidak menjadi masalah kepada orang ramai di negeri ini kerana vaksin masih diberikan di pelbagai fasiliti kesihatan seluruh negeri.

“Walaupun beberapa PPV telah ditutup, terdapat 16 buah PPV lagi yang masih dibenarkan beroperasi di kawasan-kawasan yang masih memerlukan.

“Bagi kawasan yang sudah tidak mempunyai PPV, pemberian vaksin akan dilakukan di klinik-klinik kesihatan yang berdekatan,” jelasnya.

Shahelmey juga mengingatkan orang ramai agar terus mematuhu prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak dijangkiti virus Covid-19.

“Dengan peralihan dari fasa pandemik ke fasa endemik ini, saya ingin mengingatkan orang ramai untuk tetap mematuhi SOP yang ditetapkan demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|