Siap sedia terima kehadiran pelancong

Siap sedia terima kehadiran pelancong

Kinabatangan: Pengusaha pelancongan di Sabah diingatkan supaya bersiap sedia menerima kehadiran pelancong sejajar kelonggaran pergerakan dan pembukaan semula sektor pelancongan di seluruh negeri.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri (KePKAS), Datuk Mohd Yusrie Abdullah, berkata ia berikutan keputusan kerajaan negeri membenarkan perjalanan rentas daerah bermula 14 Oktober dan rentas negeri pada 1 November depan.

“Memandangkan kita sudah dibenarkan untuk merentas daerah dan negeri, saya berharap syarikat-syarikat pelancongan dapat bersiap sedia untuk menerima kehadiran pelancong di lokasi mereka.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada pengusaha-pengusaha syarikat pelancongan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) memandangkan Covid-19 belum hilang di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Danau Girang dan Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan Berhad (KOPEL Berhad) pada Sabtu./az

Dalam pada itu, Mohd Yusrie memuji usaha Koperasi Pelancongan Mukim Batu Putih Kinabatangan Berhad (KOPEL Berhad), di sini, dalam membangunkan lokasi berkenaan sebagai pusat pelancongan berteraskan komuniti.

“Saya kagum dengan usaha KOPEL Berhad yang mana ia diwujudkan bukan semata-mata sebagai pusat pelancongan tetapi juga sebagai pusat pemuliharaan seperti menanam pokok.

“Sejak kebelakangan ini mereka juga menghasilkan baja kompos daripada buangan pepejal yang dibuang setiap hari seperti sisa makanan, sabun organik, produk menghalau serangga yang mana ia sesuatu yang jarang kita perolehi di mana-mana tempat.

“Saya dimaklumkan, pada mulanya KOPEL Berhad mendapat tentangan daripada komuniti setempat tetapi setelah usaha mereka menunjukkan hasil, sekarang mereka mendapat sokongan penuh daripada warga Mukim Batu Puteh.

“Usaha komuniti bersama-sama koperasi ini boleh dicontohi oleh komuniti-komuni di luar sana yang mana mereka boleh berjaya dan berdiri sendiri,” katanya.

Tambah Mohd Yusrie, KOPEL Berhad juga adalah antara koperasi pelancongan terbaik sehingga mendapat peruntukan sebanyak RM4.2juta daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi membina fasiliti seperti bilik penginapan, restoran dan pejabat operasi melalui Projek Desa Lestari Kampung Alaf Baru selain dana dari KePKAS untuk membaik pulih pusat penerangan di pusat pelancongan itu.

Mohd Yusrie juga berharap usaha KOPEL Berhad akan menjadi ikutan oleh koperasi dan komuniti lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|