Maut kereta terbabas masuk parit

Maut kereta terbabas masuk parit

Sandakan: Seorang lelaki berusia 40-an maut selepas kereta yang dipandunya terbabas ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Seguntur, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala selepas tersepit di tempat duduk hadapan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.04 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa masih tersepit di dalam kenderaan jenis Proton Saga yang terbalik di dalam parit.

“Operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 9.19 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|