Lelaki terselamat, kereta terbabas sebelum terbakar

Lelaki terselamat, kereta terbabas sebelum terbakar

Kinabatangan: Seorang pemandu lelaki berdepan detik cemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sebelum terbakar dalam kejadian di Kampung Lot M, Kota Kinabatangan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 31 tahun bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.01 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa jenis Toyota Prado yang terbalik di tepi jalan berkenaan sedang marak terbakar.

“Operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada berlaku kejadian tidak diingini termasuk kemungkinan letupan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran kemudiannya berjaya dikawal sebelum operasi ditamatkanpada jam 11 malam selepas api dipadamkan sepenuhnya.

Katanya, seorang mangsa yang mengalami kecederaan ringan kemudiannya dibawa Hospital Kinabatangan menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|