Kota Kinabalu: Tiga anak muda UMNO Sabah sudah bersedia untuk memeriahkan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) melalui ceramah politik yang bakal diadakan nanti dalam usaha memenangi hati rakyat Sabah.
Mohd Fikri Jumat, Dg Sabrina Pg Jaafar dan Nornikman Ag Kati adalah wakil UMNO Sabah dalam pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Mereka masing-masing menduduki naib johan, tempat ketiga dan tempat keenam daripada 38 peserta seluruh negara dalam pertandingan pidato yang julung kali diadakan bagi mencungkil bakat berpidato anak muda UMNO.
Mohd Fikri yang menjadi pemenang naib johan berkata pertandingan itu adalah permulaan untuk melahirkan bakat pemidato mewakili UMNO Sabah yang bakal diketengahkan pada PRU-15 untuk membantu parti itu menarik sokongan rakyat.
Pemenang tempat ketiga Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO, Dg Sabrina Pg Jaafar (kiri) menerima hadiah daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Harapan saya kita dapat melahirkan lebih ramai pemidato Sabah di pentas politik untuk PRU akan datang dan kita kena bersedia dari hari ini. InsyaAllah kita bersama Penerangan UMNO Sabah akan memastikan kehdiran anak muda ini dilaksanakan secepat mungkin menjelang PRU-15.
“Kita akan pastikan dapat mengembalikan semula kepercayaan orang Sabah kepada UMNO dan ini akan menjadi titik permulaan untuk pastikan kita menyapu bersih kerusi pada PRU-15,” katanya.
Pemenang tempat keenam Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO, Nornikman Ag Kati menerima hadiah daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dg Sabrina yang memenangi tempat ketiga pula berkata, beliau gembira bukan saja menempa nama sebagai antara pemidato terbaik UMNO, malah dapat membawa suara rakyat untuk didengar pemimpin atasan melalui pidato yang dibawakan.
Katanya, walaupun hanya sumbangan kecil, beliau berharap ia dapat membantu menguatkan UMNO Sabah terutama dalam menghadapi PRU akan datang menerusi kemahiran berpidato yang dipelajarinya.
“Walaupun hanya sentuhan kecil yang dapat disumbangkan kepada UMNO Sabah tetapi saya mengharapkan dapatlah memberi impak yang dapat membantu menguatkan lagi UMNO itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, Nornikman yang menerima hadiah sagu hati selepas menduduki tempat keenam menyifatkan pertandingan itu sebagai platform terbaik untuk memperkasa anak muda dan memastikan UMNO terus menang di hati rakyat.
Beliau turut menyatakan harapan agar pertandingan pidato itu dapat diteruskan untuk dijadikan platform menarik belia dalam usaha memperkasa politik dalam kalangan anak muda.
Ketiga-tiga mereka turut menzahirkan penghargaan kepada Penerangan UMNO Sabah yang diketuai Datuk Raimie Unggi yang banyak membantu persediaan dan kelancaran menyertai pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021.
-Deasoka