Kota Kinabalu: Golongan belia di negeri ini digesa mengamalkan budaya hidup sihat agar menjadi generasi muda berkualiti dan tampil bertenaga dalam membantu melaksanakan pembangunan negara.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata untuk memacu pembangunan, negara perlu memiliki generasi muda sebagai pemimpin pelapis yang berkualiti serta sihat dari segi minda dan fizikal.
“Selain meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran, generasi muda hari ini perlu terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan, sukan dan aktiviti riadah yang lain.
“Ia penting kerana golongan belia adalah pemimpin pelapis negara yang perlu memiliki kualiti dari segi pendidikan, minda dan fizikal,” katanya pada majlis penyerahan 50 basikal sumbangan Kementerian Belia dan Sukan kepada pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin; Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Andi Muhammad Suryady Bandy; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Datuk Dr Fadilah Sarbi.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berharap agar pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di seluruh negeri dapat mengatur dan melaksanakan pelbagai program riadah membabitkan golongan belia sebagai wadah mendekati mereka.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata pembabitan golongan belia dalam aktiviti sihat penting sebagai salah satu usaha mengelakkan mereka terjebak dalam gelaja penyalahgunaan dadah dan masalah sosial lain yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
“Kita jangan lupa mereka juga bakal pengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Justeru pendekatan yang sesuai kepada golongan ini perlu dilakukan antaranya melalui program riadah atau penganjuran pelbagai jenis sukan,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama Bung Moktar turut menggesa golongan belia di negeri ini melibatkan diri dalam kegiatan persatuan atau kelab sukan di kawasan masing-masing.
Katanya, pembabitan belia dalam aktiviti berpersatuan mampu mendidik mereka bergaul dan bertukar-tukar pandangan untuk memajukan golongan belia di kawasan masing-masing melalui beberapa bidang yang sesuai dengan minat mereka.
“Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan, kemudahan dan program kepimpinan keusahawan dan lain-lain lagi yang perlu dimanafaatkan sepenuhnya oleh golongan belia,” katanya.
-Deasoka