Warga pendidik diajak kukuh perpaduan, jaga kesihatan

Warga pendidik diajak kukuh perpaduan, jaga kesihatan

Labuan: Warga pendidik di Labuan diajak supaya terus mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Yusop Mohamad, menyuarakan perkara itu pada sambutan Maal Hijrah 1443H JPWPL anjuran bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Bebuloh (SKB) dan Sektor Pendidikan Islam (SPI) JPWPL, baru-baru ini.

Katanya, setiap warga pendidik perlu mempunyai keyakinan dan emosi yang kukuh untuk berdepan dengan norma baharu dan situasi semasa pandemik Covid-19 dengan menghayati makna sebenar hijrah bagi umat Islam.

“Saya menyeru kepada diri saya dan warga pendidik untuk bersama-sama menjiwai peristiwa hijrah.

“Kita memasang azam untuk berusaha lebih kuat di tahun baharu hijrah ini agar kejayaan yang lebih tinggi dan impian yang mahu direalisasikan dapat dizahirkan dengan sempurna.

“Mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam kehidupan masing-masing serta meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada SWT. Kesukaran hidup kesan wabak Covid-19 dirasai dan memerlukan motivasi dan semangat juang yang tinggi,” katanya.

Kira-kira 250 warga guru menjayakan
majlis itu yang diadakan secara dalam talian bersama dua selebriti terkenal iaitu Hafiz Hamidun dan Hazamin Inteam.

Yusop berkata, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’ amat bertepatan dengan realiti rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.

Katanya, sikap saling hormat menghormati, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan yang dianjurkan oleh Islam dapat dilihat melalui konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa junjungan besar Nabi MuhamS.AW.

“Selaras dengan tema sambutan Maal Hijrah ini, negara memerlukan kesatuan fikrah dan hala tuju dalam menghadapi kekalutan dunia yang sedang bergelut dengan pendemik Covid-19 serta isu yang menghimpit masyarakat,” katanya.

Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun yang dipimpin oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Sahrum Samlan bermula jam 6 petang, diikuti dengan bacaan doa awal tahun pimpinan Hafiz Hamidun manakala Hazamin Inteam mengetuai bacaan surah Yaasin.

Sementara itu, Guru Besar SK Bebuloh, Abdul Rahman Salim turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa murid-murid SK Bebuloh atas komitmen yang diberikan dan pengorbanan dalam memastikan anak-anak mengikuti pembelajaran di rumah.

Majlis yang disertai warga pendidik di seluruh negara itu turut disiarkan melalui Facebook live SK Bebuloh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|