Op Samseng Jalanan: 16 ditahan, 14 kompaun Dikeluarkan

Op Samseng Jalanan: 16 ditahan, 14 kompaun Dikeluarkan

Sandakan: Seramai 16 individu berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi Op Samseng Jalanan di Jalan Ulu Sibuga, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 4 petang itu, operasi turut mengeluarkan sebanyak 14 saman atas pelbagai kesalahan trafik yang dikesan ketika ditahan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, dua kenderaan pada awalnya ditahan bersama dua pemandu serta dua penumpang kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Katanya, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara meluluh dan membahayakan.

“Manakala 12 lagi individu iaitu membabitkan lapan pemandu dan empat penumpang lain turut ditahan kerana terbabit dalam kegiatan perlumbaan haram.

“12 individu ini disiasat mengikut Seksyen 81 (3) APJ 1987 kerana mengambil bahagian dalam sebarang pertandingan atau ujian kelajuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Azhar berkata, setiap individu yang ditahan turut dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, ia kerana mereka keluar tanpa alasan yang munasabah dalam tempoh Fasa Pemulihan kedua iaitu mengikut Peraturan 17 (1) Akta Pencegahan Pengawalan penyakit berjangkit 1988.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azhar berkata, usaha penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi mencegah dan membanteras kegiatan samseng jalanan.

Katanya, ia bagi memastikan pengguna jalan raya tidak menjadi mangsa kepada aktiviti samseng jalanan ini.

“Masyarakat terutama golongan muda digesa untuk menghindari sebarang aktiviti lumba haram atau menguji kelajuan.

“Pandulah kenderaan atau menunggang motorsikal secara berhemah dan mematuhi setiap peraturan lalulintas,”katanya.

Mohd Azhar berkata, masyarakat juga dinasihatkan untuk terus menjaga keselamatan diri bagi mengelakkan daripada terdedah kepasa jangkitan Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|