Beaufort: Seorang wanita warga emas tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiaminya di Kampung Rancangan Klias, di sini, musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Bagaimanapun wanita berusia 72 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan kerana ketika kejadian warga emas itu berada di rumah jirannya.
Tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk dokumen penting miliknya.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu jam 7.59 pagi.
Pasukan bomba mengawal api daripada merebak ke rumah berdekatan. Gambar ihsan JBPM Sabah
Katanya, seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran membabitkan sebuah rumah yang sedang terbakar.
“Tiada kecederaan dilaporkan dan operasi terkawal pada jam 8.28 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, operasi pemadaman turut dibantu BBP Kimanis dan anggota bomba sukarela Rancangan Klias.
“Operasi tamat sepenuhnya jam 9.30 pagi dan pasukan bomba berjaya menyelamatkan beberapa rumah daripada terbakar.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian,” katanya.
-Deasoka