Boleh lawat zoo, berurut mulai 1 Oktober

Boleh lawat zoo, berurut mulai 1 Oktober

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah membenarkan pembukaan semula beberapa lagi aktiviti pelancongan, rekreasi dan premis yang menyediakan perkhidmatan berkaitan kecantikan dan urutan bermula 1 Oktober ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata bagi aktiviti pelancongan dan rekreasi, antara yang dibenar dibuka mulai Jumaat ini termasuklah zoo dan taman rimba.

Katanya, kebenaran itu turut merangkumi pembukaan pusat, premis dan produk pelancongan seperti akuarium, pusat edutainment serta pusat ekstrem dan adventure.

“Semua ini dibenarkan beroperasi bermula 1 Oktober dengan syarat semua pengusaha atau operator dan pengunjung sudah lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri sudah membenarkan pembukaan semula kebanyakan lokasi tumpuan pelancong di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah seperti Taman Kinabalu di Kundasang sejak 16 September lalu.

Pengumuman terbaharu itu juga selari dengan langkah kerajaan negeri menamatkan sekatan rentas daerah mulai 1 Oktober ini yang akan digantikan dengan sekatan rentas zon.

Menerusi sistem sekatan baharu itu, Sabah dibahagikan kepada enam zon dengan setiap zon mengandungi beberapa daerah seperti yang pernah dilaksanakan pada awal tahun ini.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu itu, tiada lagi sekatan rentas daerah dikenakan dalam zon yang sama, kecuali bagi daerah yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.

Dalam pada itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata mulai Jumaat ini juga, premis spa, salun kecantikan, refleksologi, pusat kesihatan dan urut kesihatan dibenar dibuka semula.

“Perkhidmatan pedicure dan manicure juga dibenarkan dibuka mulai 1 Oktober dengan syarat pekerja dan pelanggan mesti sudah lengkap vaksin dan berstatus risiko rendah COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Masidi mengingatkan pemilik premis supaya memastikan individu yang memasuki premis mereka berstatus risiko rendah COVID-19 dan menunjukkan bukti sudah lengkap vaksin.

Bukti lengkap vaksin, katanya boleh ditunjukkan menggunakan sijil digital vaksinasi COVID-19 dalam aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi COVID-19.

“Orang ramai juga boleh menunjukkan kad peringatan vaksin yang diberikan Kementerian Kesihatan (KKM) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi individu yang tidak memiliki telefon pintar atau tiada akaun aplikasi MySejahtera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|