Jangan politikkan isu kemiskinan – Jonnybone

Jangan politikkan isu kemiskinan – Jonnybone

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonnybone Kurum, menempelak sikap pemimpin pembangkang yang mempolitikkan isu kemiskinan di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah tanpa mengambil tahu keadaan sebenar penduduknya.

Beliau yang juga Pembantu Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata pemimpin pembangkang tidak seharusnya menuding jari kepada mana-mana pihak berhubung isu itu semata-mata untuk meraih sokongan demi kepentingan politik.

Sebaliknya, beliau berkata sebagai pemimpin, pembangkang juga perlu menunjukkan komitmen dengan sama-sama mencari jalan penyelesaian terbaik membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Katanya, pemimpin pembangkang juga seharusnya mengakui bahawa kemiskinan bukan saja berlaku di kawasan luar bandar, malah juga wujud di kawasan bandar besar termasuk Kota Kinabalu.

“Sebenarnya, masalah kemiskinan bukan sahaja berlaku di kawasan pedalaman, tetapi juga di bandar. Realitinya, golongan miskin bandar juga wujud di Kota Kinabalu.

“Adakah anda berani menyatakan bahawa di kawasan Parlimen Kota Kinabalu tiada berlakunya kemiskinan?” soalnya ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berhubung lapan daerah termiskin di Sabah.

Foong Hin dalam kenyataannya sebelum ini membangkitkan persoalan mengenai keadaan kemiskinan di daerah Kudat, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod dan Nabawan yang tersenarai antara 10 daerah termiskin di Malaysia ketika ini.

Wakil rakyat DAP itu berkata, daerah terbabit masih miskin walaupun diwakili menteri dan timbalan menteri seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Kota Marudu); Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) selain Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Kurup (Pensiangan) dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat).

Dengan merujuk kepada kenyataan Foong Hin itu, Jonnybone yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkata kadar kemiskinan bandar di Kota Kinabalu mungkin lebih teruk daripada kawasan luar bandar.

“Kebanyakan penduduk kampung di kawasan luar bandar mungkin kurang berkemampuan tetapi mereka tidak pernah kehabisan sumber makanan atau tidak mempunyai rumah kediaman.

“Penduduk kampung boleh mengusahakan tanah mereka bila-bila masa. Selain itu, mereka juga mempunyai sumber makanan yang mencukupi walaupun tidak mempunyai wang yang banyak.

“Oleh itu, janganlah sesekali menghina keadaan mereka yang susah. Kita seharusnya membantu dan bukannya mengejek penderitaan mereka,” katanya.

Jonnybone turut menggesa pemimpin politik supaya berganding bahu dan sama-sama mencari jalan keluar bagi mengatasi situasi yang dihadapi masyarakat kurang bernasib baik di luar bandar dan golongan miskin bandar seperti di Kota Kinabalu.

Beliau juga menegaskan bahawa di kawasan pendalaman, tidak wujud masalah pengemis seperti yang berlaku di kawasan bandar.

“Oleh itu YB Chan (Foong Hin) perlu turun padang lebih kerap untuk melihat permasalahan (pengemis) yang wujud di kawasan beliau. Ini juga menunjukkan masalah kemiskinan yang berat sememangnya berlaku di kawasan bandar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|