Sekatan rentas zon di Sabah mulai 1 Oktober

Sekatan rentas zon di Sabah mulai 1 Oktober

Kota Kinabalu: Sekatan rentas zon akan dilaksanakan semula bermula 1 Oktober ini bagi menggantikan sekatan rentas daerah yang dilaksanakan di seluruh Sabah ketika ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sistem itu membenarkan penduduk merentas ke daerah lain dalam zon yang sama tanpa perlu kebenaran polis.

Bagaimanapun, beliau berkata sistem rentas zon itu hanya membabitkan daerah yang sudah mencapai tahap 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.

“Kerajaan bercadang untuk beralih ke sistem rentas zon sebagai peralihan berkala daripada sekatan rentas daerah kepada rentas zon bermula 1 Oktober 2021.

“Pelaksanaannya bagaimanapun tertakluk kepada syarat kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa di setiap daerah sudah mencapai 60 peratus.

“Maknanya, daerah di sesuatu zon yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin dengan sendirinya terkeluar daripada zon berkenaan sehinggalah nilai ambang 60 peratus itu dicapai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, penduduk di daerah yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 60 peratus akan kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) tidak boleh merentas ke daerah lain.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, sudah mengumumkan hasrat kerajaan negeri untuk melaksanakan semula sistem rentas zon pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.

Berdasarkan sistem sekatan pergerakan mengikut zon sebelum ini, Sabah dibahagikan kepada enam zon dengan setiap zon mengandungi antara tiga hingga tujuh daerah yang mana penduduk di setiap daerah dalam zon yang sama dibenarkan merentas tanpa sekatan.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah mencatat 965 kes baharu Covid-19 hari ini, meningkat 214 kes berbanding 751 kes semalam.

Katanya, sehingga kini, kes harian tertinggi yang pernah direkodkan di Sabah ialah sebanyak 3,487 kes yang dicatatkan pada 26 Ogos lalu.

“Data dalam 30 hari jika diterjemahkan dalam bentuk graf akan memperlihatkan Sabah sedang mengalami aliran penurunan kes walaupun rekod harian adalah tidak statik.

“Adalah sukar untuk menjangka atau meramal sama ada pada hari berikutnya akan berlaku peningkatan atau penurunan kes,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|