Warga asing dihalang masuk ke perairan negara

Warga asing dihalang masuk ke perairan negara

Tawau: Cubaan empat warga Indonesia menyelinap masuk ke negara ini menggunakan khidmat juragan tempatan berjaya dihalang Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi ‘Op Benteng Covid’ di perairan Haji Kuning, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis Ridzauddin Selamat berkata, bot penumpang berkenaan ditahan selepas dipercayai cuba menuju ke perairan Tawau.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan mendapati, juragan warga tempatan terbabit membawa dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 23 hingga 38 tahun dan berstatus warganegara Indonesia.

‘Juragan serta penumpang diberikan penerangan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Covid -19 dalam perintah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998.

“Bot berkenaan kemudiannya diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula ke negara ini bagi mengekang penularan wabak penyakit covid-19,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ridzauddin berkata, Op Benteng kini memberi fokus kepada pendekatan pengusiran terhadap pendatang tanpa izin dan kemasukan warga asing berbanding tangkapan sebelum ini.

Katanya, pihak berkuasa mengambil pendekatan itu memandangkan antara punca peningkatan kes Covid-19 di negara ini disebabkan kemasukan warga asing.

“Kita tahu salah satu punca meningkatnya Covid-19 di negara ini khususnya di pantai timur Sabah adalah penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Apabila mereka bercampur dengan tahanan lain, akhirnya virus itu merebak sampai ke luar.

“Jadi sekarang, kita membuat keputusan dari segi Op Benteng, halau atau usir mereka sebelum memasuki kawasan sempadan perairan negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah empat Sabah di nombor 013-9391197.

“Masyarakat juga boleh berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983268 bagi memastikan kegiatan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|