MoU dengan pembangkang dapat hentikan ‘politiking’ – Hajiji

MoU dengan pembangkang dapat hentikan ‘politiking’ – Hajiji

Kota Kinabalu: Memorandum persefahaman (MoU) dimeterai di antara kerajaan Pusat dengan pembangkang, semalam diyakini mampu menghentikan kerenah terlalu banyak berpolitik atau `politiking’ yang menjejaskan kestabilan negara.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut menyifatkan MoU itu sebagai penting demi pembangunan negara dan rakyat.

Beliau berkata, MoU itu akan menjadi panduan untuk kerajaan dan pembangkang bersama-sama mencari jalan menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Bagi pihak kerajaan negeri Sabah, kita merasakan MoU di antara kerajaan dan pembangkang ini adalah yang terbaik dan berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, menghentikan terlalu banyak berpolitik, sekali gus dapat memastikan pemulihan negara khususnya ekonomi berjalan dengan lebih lancar dan holistik.

“Ia penting, terutama ketika ini, ramai rakyat kita yang terjejas sumber pendapatan termasuk perniagaan mereka, justeru jalan penyelesaian seperti ini (kerjasama) adalah tindakan terbaik yang wajar diambil,” katanya.

Hajiji berkata kerjasama itu akan menjadi medan untuk kerajaan dan pembangkang duduk bersama dan berbincang mengenai apa yang terbaik kepada negara.

“Apa yang penting sekarang adalah kestabilan politik ke arah membangunkan negara, khususnya dalam aspek ekonomi yang terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama itu juga sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Semalam, kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar sejarah apabila julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|