Inisiatif MPWS berjaya bantu wanita Sabah – Hajiji

Inisiatif MPWS berjaya bantu wanita Sabah – Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memuji inisiatif yang diambil Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) melaksanakan program yang memberi manfaat kepada wanita di negeri ini.

Beliau berkata, lebih membanggakan program yang dilaksanakan berjaya mencapai tujuan yang ditetapkan, khususnya dalam membantu golongan wanita di Sabah.

“Saya terharu apabila dimaklumkan program yang dilaksanakan MPWS dalam membantu golongan wanita di negeri ini mencapai sasaran yang diharapka,” katanya pada pertemuan dengan kepemimpinan MPWS di Menara Kinabalu, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya.

Dalam pertemuan itu, MPWS yang diketuai presidennya, Datuk Dr Tarsiah TZ Taman memberi taklimat mengenai perkembangan pertubuhan berkenaan dan program yang dilaksanakannya.

Ketua Menteri sebelum ini meluluskan dua inisiatif yang dicadangkan MPWS iaitu program Melahirkan Jutawan Dalam Kalangan Usahawan Wanita Muda (CreaM@YWE) dan Akademi Kepemimpinan Wanita Sabah (AKWan).

Tarziah memaklumkan MPWS akan membuat pengambilan kumpulan kedua usahawan wanita berumur antara 21 hingga 40 tahun untuk mengikuti program tiga tahun CreaM@YWE bermula November ini berikutan kejayaan program perintis sebelum ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa MPWS akan mewujudkan AKWan sebagai pelantar untuk memperkasa wanita di Sabah melalui beberapa program dan modul kepemimpinan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|