Selenggara aset TUDM untuk pastikan pertahanan negara efektif

Selenggara aset TUDM untuk pastikan pertahanan negara efektif

Kota Belud: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa menjalankan penyelenggaraan aset secara berkala bagi memastikan pertahankan ruang udara negara sentiasa efektif.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, cadangan untuk menggantikan aset dengan pesawat baharu ada dalam perancangan TUDM.

Katanya, dalam perancangan strategi, pihaknya perlu melihat jangka masa dan sekiranya perlu, TUDM akan membuat proses perolehan terhadap pesawat yang mencapai usia tidak efektif.

“Sama ada lambat atau tidak bergantung kepada sumber kewangan dan pada masa sama pesawat kita ada yang usia makin meningkat.

“Oleh itu, kita sentiasa selenggara secara berkala sebab kita tidak mahu pesawat yang tidak boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Demonstrasi Tembakan Kuasa Udara (Eksesais Ababil) 2021 di Lapang Sasar Udar (Lasarud), dekat sini, hari ini.

Affendi berkata, penyelenggaraan itu dilakukan bagi memastikan semua aset berada dalam keadaan baik dan bersiap siaga sekiranya diperlukan.

Sementara itu, Eksesais Ababil 2021 yang dijalankan hari ini, membabitkan seramai 446 anak kapal dan anggota TUDM termasuklah Pasukan Khas Udara TUDM (PASKAU).

Antara pesawat yang terbabit dalam latihan ini adalah pesawat tempur – F/A-18D Hornet, Sukhoi, SU-30MKM dan Hawk 208, pesawat angkut – Hercules C130H dan helikopter – EC 725 AP.

Affendi berkata, siri latihan penembakan Misil Udara ke Udara dan penembakan Misil Udara ke Permukaan sudah dimulakan sejak 7 sehingga 10 September lalu.

Katanya, latihan itu diadakan di Pangkalan Udara Labuan, Lapang Sasar Udara Kota Belud dan kawasan perairan Laut China Selatan.

“Antara objektif Eksesais Ababil adalah menguji keupayaan persenjataan aset-aset tempur milik TUDM di dalam pelaksanaan operasi udara.

“Selain itu, ia juga bertujuan menilai tahap kesiagaan aset-aset TUDM dan sistem
persenjataan pesawat tempur melalui operasi Tembakan Misil Udara ke Udara, Tembakan Misil Udara ke Permukaan termasuklah Tembakan Udara ke Permukaan Bumi,” katanya.

Affendi berkata, latihan ini sejajar dengan visi TUDM untuk menjadi kuasa udara yang dominan dan berspektrum penuh.

Selain itu katanya, TUDM juga mahu meningkatkan kompetensi aset sumber manusia TUDM khususnya juruterbang dan anak-anak kapal, PASKAU dan semua elemen logistik tempur secara bersepadu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|