Kota Kinabalu: Wanita yang tular selepas tindakannya mengherdik anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kepayan, di sini, pada 17 Jun lalu, ditahan polis, hari ini.
Wanita berusia 34 tahun itu ditahan jam 11.20 pagi bagi membantu siasatan polis berhubung insiden yang berlaku pada 1 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika ditahan, polis turut merampas pakaian yang dipakai wanita itu dalam kejadian berkenaan bersama telefon bimbit, kad pendaftaran kereta dan kunci kenderaan.
Katanya, polis turut mengambil tiga lagi telefon pintar milik anggota polis yang bertugas bagi membantu siasatan lanjut.
“Pakaian yang dirampas itu bagi mengenal pasti ia adalah pakaian yang dipakai oleh wanita itu dalam kejadian yang dirakam dalam video berkenaan.
“Ketika insiden itu, polis mengeluarkan saman terhadap wanita terbabit atas kesalahan tamat tempoh cukai jalan dan insurans kenderaan.
“Bagaimanapun berlaku kekecohan sehingga wanita terbabit mengeluarkan kenyataan ugutan, seperti ‘kau siapa mau saman saya, nasib kau lelaki, kalau perempuan saya kasi telanjang kau dan rungkup kau’,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, pihaknya turut mengambil keterangan daripada seorang pegawai dan tujuh anggota serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan hasil siasatan yang lengkap akan diserahkan ke Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan kini sudah meliputi 80 peratus dan wanita itu juga memberikan kerjasama yang amat baik sejak ditahan,” katanya.
-Deasoka