Sabah kempen sifar Covid-19

Sabah kempen sifar Covid-19

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah menyasarkan 30,000 individu yang akan diberi imunisasi vaksin setiap hari bermula bulan Julai hadapan.

Hajiji (tengah) menghadiri majlis secara virtual bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dengan Masidi (dua kiri), Shahelmey (dua kanan), Safar (kiri) dan Christina (kanan sekali). (Gambar ihsan JKM Sabah)

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya yakin sasaran itu berjaya dicapai dengan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) serta bantuan daripada sektor swasta dan program bergerak Jabatan Kesihatan di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) turut diarah untuk menggerakan proses pendaftaran secara agresif bagi mempercepatkan program vaksinasi.

“Dengan pembukaan lebih banyak PPV ditambah dengan bantuan daripada sektor swasta dan program bergerak Jabatan Kesihatan di kawasan luar bandar, kami akan dapat mencapai sasaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Kempen Sifar Pandemik Covid-19 di Negeri Sabah di Dewan Bankuasi, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu, pada Isnin.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi.

Baru-baru ini, Hajiji mengumumkan sebanyak 16 PPV baru dibuka bulan ini sebagai tambahan kepada 95 yang kini beroperasi bagi membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang mula diperluas kepada penduduk Sabah berumur 18 tahun ke atas.

Ketika ini, sebanyak 72 fasiliti kesihatan dan 23 PPV awam beroperasi di seluruh
negeri, tambahnya.

“Kita berharap dapat mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini dengan kerajaan negeri memperhebatkan usaha dan strategi yang akan menyaksikan 2.9 juta penduduk menerima suntikan vaksin.

“Sehubungan itu adalah penting bagi rakyat Sabah mendaftar untuk mendapat suntikan menerusi pelbagai platform yang disediakan oleh kerajaan agar matlamat untuk angka sifar kes harian dapat dicapai,”katanya.

Untuk rekod, setakat 19 Jun lalu, seramai 326,556 individu termasuk anggota tentera telah menerima dos pertama dalam fasa pertama dan kedua.

“Adalah amat penting agar rakyat dan kerajaan bekerjasama dalam memerangi pandemik ini.

“Kita tidak mahu negeri ini mengalami lonjakan mendadak dalam kes positif yang mengakibatkan kematian,” katanya.

-Deasoka

Sesi virtual bersama Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba di Dewan Bankuasi, PPNS, Kota Kinabalu, pada Isnin. (Gambar ihsan JKM Sabah)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|