Lelaki maut tertimbus runtuhan batu

Lelaki maut tertimbus runtuhan batu

Ranau: Seorang lelaki warga asing maut selepas gagal menyelamatkan diri apabila dapur rumahnya ditimpa runtuhan batu dalam kejadian di Kampung Pinousuk, Kundasang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Junaidi Gangka, 55, dikatakan sedang berehat bersama isteri di dapur berkenaan.

Bagaimanapun, sebaik runtuhan berlaku, hanya isteri mangsa sempat melarikan diri bersama anak-anak manakala mangsa pula terperangkap di dalam rumah berkenaan.

Penduduk kampung menunjukkan lokasi kejadian mangsa terperangkap.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa yang tertimbus berjaya dikeluarkan dengan bantuan beberapa pekebun berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, mangsa terus dibawa untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di Hospital Ranau.

“Dalam kejadian ini, isteri mangsa dan dua anak berusia 18 dan 6 tahun yang turut berada di dalam rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Simiun berkata, pihaknya sudah melawat lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan memberi amaran kemungkinan kejadian runtuhan berulang lagi.

Katanya, penduduk dinasihatkan supaya berwaspada disebabkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|