Majlis doa selamat cetus kluster baharu di Sabah

Majlis doa selamat cetus kluster baharu di Sabah

Kota Kinabalu: Walaupun tidak dibenarkan menganjurkan majlis sosial sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, masih ada tidak mematuhinya hingga mencetus kluster baharu Covid-19 di Sabah, hari ini.

Kluster Kampung Tengah Nelayan di Sandakan itu dikaitkan dengan majlis doa selamat yang diadakan di kampung berkenaan pada 13 Jun lalu yang sehingga kiji dikenal pasti sudah merekodkan 25 kes positif Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata, kluster itu tercetus selepas seorang wanita berumur 45 tahun disahkan positif saringan RTK Antigen pada 16 Jun lalu.

Katanya, kes indeks itu dilaporkan mengalami gejala demam dan insomnia sejak 11 Jun lalu.

“Saringan terhadap 45 kontak rapat kemudiannya menemukan 24 lagi kes positif manakala 21 kontak masih lagi menunggu keputusan.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat, saringan dan siasatan lanjut masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Sementara itu, katanya seorang pekerja kilang pemprosesan makanan yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan bersasar di lokaliti PKP Diperketatkan (PKPD) Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu mencetuskan kluster baharu membabitkan pekerja kilang tempatnya bekerja di Penampang.

Masidi berkata, kes indeks Kluster Jalan Bundusan yang berumur 43 tahun itu tidak menunjukkan sebarang gejala, namun keputusan ujian RT PCR yang dikeluarkan semalam mengesahkan lelaki berkenaan positif COVID-19.

“Berikutan kes itu, majikan melaksanakan saringan RTK Antigen di tempat kerja dan mendapati lapan lagi kes positif dalam kalangan kontak rapat
menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak sembilan kes,” katanya.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini mencatat 163 kes baharu Covid-19 dengan dua kematian, iaitu masing-masing satu di Sandakan dan Semporna, manakala seramai 241 pesakit dilaporkan sembuh.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|