Ranau: Seorang wanita terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dipandunya merempuh sebuah pacuan empat roda sebelum terbakar dalam kejadian di Kampung Segindai Jalan Telupid-Ranau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, pemandu berusia 21 tahun terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.13 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi terus bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos salur bantu mula sehingga api padam sepenuhnya.
“Pemandu wanita dan pemandu kenderaan pacuan empat roda Isuzu DMax tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 3.52 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya beberapa minit selepas itu.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.
“Operasi tamat pada kira-kira jam 4 petang,” katanya.
-Deasoka