Baddrol, Dominic Tan sah bersama Sabah FC

Baddrol, Dominic Tan sah bersama Sabah FC

Kota Kinabalu: Pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar sah bersama skuad Sabah FC selepas namanya diumumkan secara rasmi berada dalam senarai pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC berumur 33 tahun itu sebelum ini dikhabarkan bakal menyertai skuad Sang Badak sejurus berakhir aksi suku akhir Piala Malaysia baru-baru ini.

Baddrol adalah antara empat pemain baharu yang diumumkan secara rasmi oleh pengurusan Sabah FC melalui laman Facebook rasmi kelab berkenaan, hari ini.

Seorang lagi ialah pemain pertahanan berumur 24 tahun, Dominic Tan Jun Jin, yang sebelum ini bermain untuk pasukan Police Tero dalam Liga 1, Thailand.

Dominic juga adalah bekas pemain Harimau Muda C sebelum menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2016 dan dipinjamkan ke Portugal bersama kelab Vilaverdense FC pada 2018.

Beliau kemudian bersama Police Tero dan kini turut berada dalam senarai skuad Piala AFF kebangsaan yang bermula 6 Disember ini bersama Baddrol sebelum bergabung dengan skuad Sang Badak untuk persediaan Liga Super musim depan.

Sementara itu, dua lagi pemain baharu yang tersenarai secara rasmi bersama Sabah FC musim depan ialah Mohd Afiq Yunus @ Apeng dan Dirga Surdi, kedua-duanya bakat tempatan berasal dari Labuan dan Sabah.

Mohd Afiq, 27, sebelum ini bermain di posisi tengah bersama pasukan tempatan Tankur FC dan yang terakhir Kinabalu Jaguar FC.

Ini adalah penampilan sulung pemain yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dalam skuad senior Liga Super.

Dalam pada itu, Dirga, 22 sebelum ini beraksi bersama pasukan UiTM FC dalam musim 2021, selain pernah bersama pasukan PDRM pada 2020 dan bermain dalam Liga Sosial Selangor pada 2019.

Esok, pengurusan Sabah FC dijangka menyenaraikan baki pemain yang sudah disahkan bersama skuad Sang Badak di laman Facebook rasmi pasukan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|