Wanita sakit gastrik dibawa turun Gunung Kinabalu

Wanita sakit gastrik dibawa turun Gunung Kinabalu

Ranau: Seorang pendaki Gunung Kinabalu terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengadu sakit gastrik di Kilometer 3.3 Mempening, Summit Trail, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia 45 tahun dikatakan sukar untuk bergerak dan perlu mendapatkan bantuan bagi membawanya turun untuk mendapatkan rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai termasuk Mosar dan malim gunung dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui, pasukan Mosar terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ dengan menggunakan Robinson stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya sampai ke kaki gunung, mangsa diserahkan kepada pasukan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum dihantar ke Hospital Ranau.

Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.40 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|