Kota Kinabalu: Empat mangsa termasuk seorang wanita mengandung terselamat selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan UMS, berhampiran pusat beli belah One Borneo, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, semua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan selepas kereta Perodua Alza dan Proton Gen2 yang dinaiki remuk akibat perlanggaran berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.09 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat mangsa yang masih berada di dalam kenderaan dan usaha mengeluarkan mangsa terus dijalankan.
“Semua mangsa mengalami kecederaan dan terus mendapat rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Proton Gen2 yang dipandu lelaki berusia 34 tahun hanya mengalami kecederaan ringan. Pix ihsan Bomba
Menurutnya, semua mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menaiki Ambulans dan jentera EMRS untuk mendapat rawatan selanjutnya.
Katanya, mangsa di dalam Perodua Alza membabitkan seorang wanita mengandung yang cedera di bahagian kepala manakala seorang lagi penumpang patah kaki.
“Kedua-dua pemandu kenderaan membabitkan lelaki berusia 34 dan 35 tahun pula turut mengalami kecederaan,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 2.05 pagi.
-Deasoka