Bajet Sabah 2022 dibentang esok

Bajet Sabah 2022 dibentang esok

Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan bersidang bermula esok didahului dengan pembentangan Bajet 2022 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Menteri Kewangan negeri.

Pembentangan bajet kedua kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu dijadual bermula pada jam 3 petang esok disusuli sesi soal jawab dan perbahasan pada Isnin hingga Khamis depan.

Bajet tahun depan dijangka membabitkan perbelanjaan yang lebih besar bagi menyokong pelan pemulihan ekonomi negeri selepas terjejas akibat pandemik COVID-19.

Kerajaan turut dijangka menyediakan peruntukan besar bagi melaksanakan pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 yang dilancarkan pada Mac lalu.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 18 Disember tahun lalu kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM4.303 bilion bagi menampung perbelanjaan perbekalan dan pembangunan negeri pada tahun ini.

Bajet tahun ini mencatat lebihan RM178.7 juta berdasarkan unjuran hasil lebih besar bagi tahun 2021 iaitu sebanyak RM4.481 bilion.

Sementara itu, Jabatan Penerangan dalam satu kenyataan berkata liputan persidangan DUN kali ini membenarkan seramai 18 petugas media hadir untuk membuat liputan sepanjang tempoh persidangan.

Ia berdasarkan keputusan Mesyuarat Penyelarasan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua DUN Sabah Keenam Belas Bil2/2021.

Selain media rasmi kerajaan, beberapa agensi media terpilih turut dibenarkan hadir secara fizikal untuk membuat liputan, namun hanya seorang wakil dibenarkan dan wajib menjalani ujian saringan Covid-19.

Agensi media lain termasuk media dalam talian yang tidak hadir secara fizikal boleh membuat liputan secara dalam talian.

Orang ramai juga boleh mengikuti pembentangan bajet berkenaan secara langsung melalui siaran langsung persidangan DUN di laman Youtube rasmi DUN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|