PKR Sabah berdepan krisis kepemimpinan – Tommy Thomas

PKR Sabah berdepan krisis kepemimpinan – Tommy Thomas

Kota Kinabalu: PKR Sabah kini berdepan krisis kepemimpinan berikutan semakin banyak suara dalam kalangan pemimpin bawahan parti itu tampil menyatakan pendirian menolak kepemimpinan Datuk Christina Liew selaku ketua.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tawau, Tommy Thomas, mendakwa krisis kepemimpinan PKR Sabah bermula sejak Christina mengambil alih jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) daripada Allahyarham Datuk Lajim Ukin yang meninggalkan parti itu pada 2016.

Katanya, sebelum diambil alih Christina, PKR Sabah adalah parti pembangkang yang dominan di negeri ini tetapi menjadi suram selepas bekas Timbalan Ketua Menteri itu mengambil alih kepemimpinan parti.

“Christina bukan sahaja gagal membantu cabang-cabang Keadilan di negeri ini kecuali jika ada keperluan untuk diri beliau, Christina juga dilihat tidak serius dalam mengemudi parti ini.

“Ia semakin terserlah selepas kegagalan Christina mengekalkan beberapa kerusi yang ditandingi Keadilan apabila cuma bertanding lapan daripada 60 kerusi DUN pada 2018. Malah lima daripada lapan kerusi yang ditandingi adalah kawasan hitam yang ditolak semua sekutu termasuk Warisan.

“Lebih menyedihkan walaupun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu terdapat pertambahan 13 kerusi DUN baharu menjadikannya 73 kerusi, namun kuota untuk Keadilan dikurangkan kepada tujuh kerusi.

“Keadilan berada di tahap paling hina dalam sejarah sejak parti keramat ini mula bertapak di Sabah pada 1999. Ini tidak termasuk beberapa isu dalaman yang agak menyedihkan buat saya sebagai anak muda yang melihat masa depan yang cerah dalam parti ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tommy berkata beliau yakin Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia maklum bahawa 17 daripada 26 Ketua Cabang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk menolak Christina Liew sebagai Pengerusi MPN Majlis Sabah selain lima Cabang berkecuali dan empat Cabang menolak.

Malah, katanya dalam SD yang diserahkan kepada Presiden PKR itu, turut disertakan nama Ketua Cabang yang disokong untuk mengemudi PKR Sabah.

“Sebagai sebuah parti Reform yang mengamalkan demokrasi, saya yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akur terhadap keputusan akar umbi.

“Ketua-Ketua Cabang sebelum ini telah bersetuju untuk mengekalkan Christina selepas Pemilihan Keadilan 2018 bagi mengelakkan kepimpinan negeri diambil alih oleh ‘kartel’ yang pada hari ini telah meninggalkan parti.

“Namun, kegagalan demi kegagalan Christina terus terserlah dan berdiam diri bukanlah jalan penyelesaian.

“Saya juga dimaklumkan Christina sedang mengadakan jelajah ke setiap zon di Sabah dengan menggunakan nama ‘penerangan berkaitan Agenda Reformasi Sabah’.

“Namun tujuan sebenar beliau adalah untuk menarik sokongan ketua-ketua cabang tetapi tidak mendapat sambutan daripada ketua-ketua Cabang, Wanita, AMK dan Serikandi Keadilan di Sabah,” katanya.

Berikutan itu beliau menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim segera mengambil tindakan untuk menyelesaikan perkara berkenaan sebelum menjadi semakin parah.

Katanya, sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk merombak semula kepemimpinan PKR Sabah agar parti itu dapat bergerak dengan baik dalam langkah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|