Cubaan PATI masuk ke Sabah dipatahkan

Cubaan PATI masuk ke Sabah dipatahkan

Tawau: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) mematahkan cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke perairan Tawau, di Kampung Hidayat, Batu 4, di sini, semalam.

Cubaan menyusup masuk berkenaan berjaya dikesan hasil operasi rondaan yang dijalankan pada jam 8 malam selepas pasukan operasi mengesan sebuah bot laju di kawasan berkenaan.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, hasil tinjauan dan pemerhatian pasukan Tim Quick Reaction Force (QRF) turut mengesan sebuah kereta Toyota Avanza dalam keadaan mencurigakan

Katanya, kenderaan berkenaan kemudiannya didapati digunakan oleh ejen untuk mengangkut PATI warganegara Indonesia terbabit.

“Tim QRF bertindak mengekori rapat dan terus menahan kenderaan berkenaan di Jalan Utama Jalan Apas, Batu 3 pada jam 8.10 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kenderaan dipandu seorang warga tempatan berusia 30 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ejen penghantar bersama lima warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, warga asing yang ditahan membabitkan seorang lelaki berusia 57 tahun bersama dua wanita 17 dan 47 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan bulan dan 3 tahun.

Katanya, maklumat awal yang diperolehi dari tahanan memaklumkan, mereka datang dengan menaiki bot yang sudah diaturkan oleh ejen dari Pulau Sebatik menuju ke Kampung Hidayat.

“Mereka kemudiannya akan diambil oleh ejen menggunakan kenderaan menuju ke Bandar Tawau,” katanya.

Abdul Karim berkata, ejen warga tempatan terbabit ditahan mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Manakala katanya, semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk proses saringan Covid-19 sebelum tindakan selanjutnya dijalankan.

Sehubungan itu, Abdul Karim berkata, operasi ini akan diteruskan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan dan juga menyekat penularan wabak Covid-19.

Katanya, setiap anggota dan pegawai bertugas juga diingatkan supaya sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan sepanjang masa.

“Terima kasih juga kepada Tim OCP Daratan ESSCOM dan IPD Tawau atas sokongan pelaksanaan operasi ini.

“Kerjasama ini menggambarkan sempadan negara dikawal dan ditangani secara serius oleh semua agensi penguatkuasaan,”’katanya.

Abdul Karim berkata, ATB 2 akan mengetatkan lagi kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan lain-lain ancaman demi kedaulatan di Pantai Timur Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|